Friday, December 18, 2009

Menanti Detik Kebangkitan

Kepada seluruh umat Islam, aku ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru 1431 Hijrah. Syukur sepanjang tahun 1430 Hijrah, negara Malaysia masih aman damai walaupun berlaku beberapa konflik politik, kepincangan ekonomi global, krisis makanan, tenaga, petroluem dan sebagainya.  Tahun 1430 Hijrah juga menyaksikan beberapa perubahan besar berlaku dalam negara.

Jika korang perhatikan keadaan sekeliling, kita dapat melihat buat pertama kalinya dalam sejarah pilihanraya di negara kita, Barisan Nasional gagal untuk memenangi majoriti 3/4 di Parlimen dan munculnya satu kelompok baru yang bergelar 'Pakatan Rakyat'. Walaupun pelbagai drama telah berlaku seperti konspirasi 'lompat parti', perebutan kuasa di negeri Perak, kes liwat Dato Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya,  keharmonian kaum di negara ini masih terpelihara dan dijangkakan, Pilihanraya Umum 13 akan menyaksikan pertembungan politik paling sengit dalam sejarah negara apabila sistem dua parti iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bakal bertembung. Pemikiran rakyat sudah mampu untuk menilai mana yang haq dan mana yang batil. Kemunculan strategi kempen politik melalui blog juga telah membuka mata rakyat akan perkara sebenar yang berlaku di dalam negara.

Tahun 1430 Hijrah juga menyaksikan ketamakan dan kerakusan kapital-kapitalis barat mula memakan diri apabila satu demi satu konglomerat barat seperti Lehman Brother dan General Motors  runtuh diisytiharkan bankrap. Bermula dengan krisis subprima di Amerika Syarikat, keruntuhan sistem bank, peningkatan NPL dan lain-lain adalah disebabkan oleh sistem kapitalis yang keterlaluan mengejar keuntungan dan ditambah dengan dasar matawang yang tidak bersandarkan kepada emas. Sistem bank yang mengamalkan riba serta 'buble economy' yang wujud atas dasar spekulasi juga menambahkan lagi kepada masalah ekonomi global.

Jadi sudah tiba masanya generasi kita untuk bangkit menghadapi dunia akhir zaman kini. Sejarah telah membuktikan apabila runtuhnya suatu tamadun dari satu belah bahagian, akan muncul satu tamadun baru dari bahagian yang lain. Tuhan telah berjanji melalui lidah Rasulullah, Islam pasti akan bangkit dari satu kawasan di Timur. Soalnya di mana? Adakah di Malaysia? Dan jika di Malaysia adakah generasi kita telah bersedia? Adakah kita mampu untuk membangunkan ekonomi bermodelkan syariat Islam? Atau kembali mewujudkan sains Islam yang tidak langsung memandang kepada barat yang hanya percaya kepada Tuhan fizikal? Sewajarnya kita harus persiapkan diri dengan segala ilmu untuk menghadapi cabaran yang akan datang.

"Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapakku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan".
Ayat 28, Surah Nuh

4 comments: